Kisah
Wali Allah yang Solat Di Atas Air
Sebuah
kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200 orang temasuk ahli perniagaan
berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah
lautan maka datanglah ribut petir dengan ombak yang kuat membuat kapal itu
terumbang-ambing dan hampir tenggelam. Berbagai usaha dibuat untuk mengelakkan
kapal itu dipukul ombak ribut, namun semua usaha mereka sia-sia sahaja. Kesemua
orang yang berada di atas kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang akan
terjadi pada kapal dan diri mereka. Ketika semua orang berada dalam keadaan
cemas, terdapat seorang lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia
kelihatan tenang sambil berzikir kepada Allah S.W.T. Kemudian lelaki itu turun
dari kapal yang sedang terumbangambing dan berjalanlah dia di atas air dan
mengerjakan solat di atas air. Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia
dalam kapal itu melihat lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata,
“Wahai wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!” Lelaki itu tidak
memandang ke arah orang yang memanggilnya. Para peniaga itu memanggil lagi,
“Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!”
Kemudian
lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan berkata, “Apa hal?”
Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa. Peniaga itu berkata, “Wahai
wali Allah, tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam
ini? “Wali itu berkata, “Dekatkan dirimu kepada Allah.” Para penumpang itu
berkata, “Apa yang mesti kami buat?” Wali Allah itu berkata, “Tinggalkan semua
hartamu, jiwamu akan selamat.” Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta
mereka. Asalkan jiwa mereka selamat. Kemudian mereka berkata, “Wahai wali
Allah, kami akan membuang semua harta kami asalkan jiwa kami semua selamat.”
Wali Allah itu berkata lagi, “Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca
Bismillah.”
Dengan
membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi seorang ke atas air dan berjalan
menghampiri wali Allah yang sedang duduk di atas air sambil berzikir. Tidak
berapa lama kemudian, kapal yang mengandungi muatan beratus ribu ringgit itu
pun tenggelam ke dasar laut. Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang
mahal-mahal terbenam ke laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat,
mereka berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam itu. Salah
seorang daripada peniaga itu berkata lagi, “Siapakah kamu wahai wali Allah?” Wali
Allah itu berkata, “Saya ialah Awais Al-Qarni.” Peniaga itu berkata lagi,
“Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal yang tenggelam itu terdapat
harta fakir-miskin Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir.” WaliAllah
berkata, “Sekiranya Allah kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul
akan membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?” Peniaga itu
berkata, “Betul, saya tidak akan menipu, ya wali Allah.”
Setelah
wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun mengerjakan solat
dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada Allah swt agar kapal itu
ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.Tidak berapa lama kemudian, kapal itu
timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di atas air. Kesemua barang
perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang. Setelah itu
dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran ke
tempat yang dituju. Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan
wali Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membahagi-bahagikan harta
kepada semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang
tertinggal.
0 comments:
Post a Comment